Rabu, 16 Oktober 2013

SEJARAH PENUBUHAN KAMPUNG PANDAMARAN JAYA



Pada tahun 1968, Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Negeri Selangor telah mendirikan  rumah kos rendah bagi penempatan penduduk setinggan daerah Klang. Di antara kampung setinggan yang terlibat ialah Kg. Tengah, Klang, Kg. Sungai Aur, Pelabuhan Klang, Kg. Quorantin, Pelabuhan Klang dan Kg. Sungai Keladi, Pelabuhan Klang. Sejak itu jugalah tertubuhnya Kampung Pandamaran Jaya.
Semasa Zaman Komunis, kawasan sekitar kawasan ini dianggap “kawasan hitam”. Ia kemudian dibangunkan sebagai Kampung Baru bagi menempatkan penduduk berketurunan Tionghoa pada Zaman Darurat. Padang Amaran adalah nama asal yang mana terletaknya sebuah lapangan terbang lama semasa penjajahan British dan kawasan bagi mengasingkan kaum Tionghua dari anasir Komunis. Oleh kerana loghat bahasa orang-orang Tionghua, nama Padang Amaran lama kelamaan bertukar menjadi Pandamaran dan kekal sehingga ke hari ini. 
Kini, kawasan Kampung Pandamaran Jaya meliputi keseluruhan Kampung Pandamaran Jaya, Taman Chi Leong, Bandar Baru Bukit Tinggi 1 dan Bandar Bayu Tinggi. Keistimewaan Kampung Pandamaran Jaya ini ialah ia merupakan "Kampung Dalam Bandar". Oleh kerana itu, kemudahan prasarana dalam ini lengkap dan teratur. 
Sejak penubuhannya, Kampung Pandamaran Jaya telah dipimpin oleh seramai empat orang ketua kampung sejak menubuhannya. Encik Khalid bin Miron adalah Ketua Kampung pertama kampung ini dari tahun 1968 hingga 1972. Diikuti Tuan Haji Maarof bin Baba (Ketua Kampung kedua) dari tahun 1979 hingga 2001 dan Encik Mustafa @ Ramli bin Kam (Ketua Kampung ketiga) dari tahun 2001 hingga 2008. Berkuatkuasa pada 1hb Ogos 2008, Encik Abu Bakar Shaari bin Husin telah dilantik Kerajaan Negeri Selangor sebagai Ketua Kampung Pandamaran  Jaya yang baru bagi mengepalai penduduk kampung ini untuk mengekalkan keharmonian dan meneruskan kemajuan kampung ini.